Tuesday, January 1, 2013

[BM] Di Mana Karya Mu Si Warga Ilmu?

Saya jarang melihat karya penulisan, olahan isu-isu tertentu baik khusus mengenai Islam atau isu umum dari warga Pengajian Islam Zagazig. Sekadar nampak perkongsian di'facebook' ini pun dari status, video mahupun blog-blog milik orang lain.

Sering saya lihat perkongsian warga Sains Kesihatan sahaja yang jelas menuturkan pandangan pemikiran mereka. Suka juga keadaan yang mana ianya tidak dibatasi sikap prejudis terhadap sesuatu Ilmu. Mungkin sebab fenomena sosial mereka tak langsung menghalang fungsi penyampaian maklumat sesama rakan-rakan maya.

Salah saya, mungkin tidak disilatkan tali persahabatan di alam maya ini dengan mereka yang telah penuh menulis di statusnya dengan kalam ilmiah mereka tersendiri. Silap saya juga anti sosial terhadap mereka. Tapi ke mana pula lingkaran perkongsian tersebut pergi jika tidak pula jalinan rakan Facebook yang saya ada itu dikongsikan kembali.

Pada zhan saya, mungkin masing-masing bersikap lebih berhati-hati dalam bertutur mahupun menyampaikan Ilmu. Namun, dari perkongsian mereka di'facebook' ini seakan tidak pula dijaga matan mahupun sanad khabar tersebut.

Tidaklah saya cela perbuatan mulia 'lebih baik diam dari berkata-kata'. Suka juga saya pada perkongsian-perkongsian yang telah dimuatkan dalam status masing-masing. Namun, tidak pernah dilihat bakat mengolah sesuatu perkara dalam bentuk penulisan panjang mereka sendiri.

Yang lagenda Asatizah Zagazig sudah pulang ke tanahair. Yang berbaki ini, merupakan pelapis bagi mereka dalam meneruskan amanah Ilmu serta proses menjadi pemimpin ummah. Malahan tidaklah dikatakan 'saki baki', tetapi, yang tinggal inilah yang berkemungkinan menjadi permata yang belum digilapkan lagi.

Ketahuilah medium Ilmu itu tetap berlegar dalam bentuk penulisan. Ianya kekal maktub selagi mana ianya disebarkan. Pengajaran kisah Sungai Tigris mengalir hitam dek dakwat dari buku yang terhumban. Jika Ilmu itu hanya wujud di kitab dan simpan dalam diri tanpa pengamatan orang lain, kelak, bila karamnya kitab mahupun hilang insan pembawa Ilmu itu, maka hilang juga ianya dari muka bumi ini.

Saya inginkan budaya perbincangan dan perkongsian Ilmu itu bermekar sesama warga Zagazig. Jangan tersekat hanya kepada Pengajian Islam atau Sains Kesihatan. Jangan juga terhenti sesama warganegara Malaysia semata-mata. Biar wujud integrasi Ilmu dari segenap sudut pemikiran, biar jelas ada kebenaran dan jelas apa itu kebatilan.

Kongsikan pada saya mahupun sesiapa sahaja dalam jaringan rakan maya anda wahai pemegang amanah Ilmu. Saya mahu juga tahu, apakah pemikiran yang anda ada dalam benak hatimu itu. Cukuplah dengan gurauan coretan di dinding-dinding sahabat anda itu.

Di mana hasil karya penulisan anda sendiri, wahai warga Ilmu?

1 comment: