بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Cuti Akhir Tahun Kita
Cuti akhir tahun hampir/sudah tamat sudah cukup rasanya buat masing-masing melepaskan geram peperiksaan, rindu yang terpendam & bertebaran ke serata tempat meluang masa yang ada dimanfaatkan. Tidak kira bagi sahabat yang pulang ke tanah air, mahupun yang menetap di bumi pengajian masing-masing.
Segala perancangan sebelum cuti (juga semasa peperiksaan berlangsung) cuba dilaksanakan mengisi ruang waktu yang cukup panjang ini. Ada yang sempat pulang berjumpa ayah bonda serta keluarga yang tersayang, ada yang sekadar mengutuskan salam melalui internet & sms sahaja kerana tidak pulang. Saya mendoakan sahabat sekeluarga sihat sejahtera & diberkati dalam naung rahmat Allah S.W.T.
-Apa khabar orang kampung, lama sudah tak berjumpa, kirim-kirimlah berita, janganlah senyap sahaja-
Ramadhan Pergi, Syawal Menjelma
Sebulan menduduki pengajian madrasah Ramadhan seharusnya masing-masing telah membawa segulung ijazah dalam course yang dikehendakinya. Antara yang boleh diperolehi ialah "Ijazah Qiamullail", "Ijazah Bersedekah", "Ijazah Lailatulqadr", "Ijazah Lazimi Zikrullah","Ijazah Tadarus & Khatam Al-Quran", "Ijazah Bercakap Perkara Baik", "Ijazah Pengurusan & Pengurangan Berat Badan", "Ijazah Malas", "Ijazah Meninggalkan Puasa/Amalan Wajib", "Ijazah Tidur Sepanjang Hari", "Ijazah Maksiat", "Ijazah Melepak Di Tengah Malam" "Ijazah Pembaziran" dan lain-lain. Mana satu yang kita telah perolehi? Mana satu yang kita sedang praktikkan sekarang?
Niat masing-masinglah bagi yang mendaftarkan niat pada awal kedatangan Ramadhan. Moga kita tidak digolong dalam orang yang celaka, iaitu apabila perginya Ramadhan tidak mendapat manfaat darinya seperti dalam doa Malaikat Jibrail a.s. Ianya ketika Rasullullah S.A.W naik mimbar untuk berkhutbah & diaminkan baginda S.A.W. Kemuliaan bulan itu akan kekal mulia jika dipenuhi dengan ibadah & perbuatan yang mulia. Renung-renungkan bersama.
Kedatangan syawal dipenuhi dengan laungan takbir sepanjang hari. Diikuti dengan kunjungan mesra ke rumah saudara mara & sahabat karib menyusun jari memohon kemaafan. Moga amalan ini kekal & menyambung tali silaturrahim sesama kita. Bagi yang tidak dapat pulang beraya, saya mendoakan kita dapat bersama keluarga di masa akan datang. Tapi berada di Mesir pun apa kurangnya, seronok bersama rakan-rakan menyambut bersama-sama, masak bersama-sama, makan bersama-sama.
Sambil kunjung-mengunjung beraya, soalan yang kerap ditanya buat saudara mara bagi yang berada di Malaysia ialah soalan-soalan berkaitan perubatan (saya khaskan perubatan sebab bidang ini yang saya ambil). Rupanya bukan tunggu peperiksaan akhir tahun nak dijawab soalan macam ini. Pakcik makcik yang jadi pemeriksa kita. Ditanyanya macam-macam penyakit, sakit itulah, sakit inilah, ubat itulah ubat inilah. Betul salah setiap jawapan itulah yang mereka nilai kita sejauh mana usaha untuk belajar.
Jadi, apakah yang perlu kita buat?
Muka Baru, Semangat Baru
Dikesempatan ini saya mengucapkan Ahlan wa sahlan kepada adik-adik baru ke bumi Sharkiah khasnya & Mesir amnya. Moga kehadiran adik-adik masing-masing membawa harapan menggunung tinggi dalam bidang yang diceburi. Tetapkan niat yang betul supaya natijah nanti berlandaskan niat tersebut. Adik-adik perlu bersyukur mendapat tempat & diberi peluang belajar di luar negara khasnya Bumi Anbia ini. Saya mendoakan ditetapkan hati adik-adik dalam berjuang & melepasi dugaan-dugaan yang bakal tiba.
Buat sahabat-sahabat & adik-adik sesi pengajian lepas, moga pengajian baru kali ini kita bawakan semangat yang baru. Saya merujuk dalam konteks semangat berjuang & bersungguh-sungguh dalam pelajaran kita ceburi. Tolak ke tepi dulu benda-benda lain. Bagi sesiapa yang datang ke tempat belajar, tetapi membawa semangat untuk bermain bersungguh-sungguh semata-mata atau menyibukkan diri dengan perkara sampingan semata-mata yang bukan dari tujuan asal, lebih baik cermin diri, teliti & memperbaharui niat tersebut.
Tak salah nak buat benda lain, berpersatuan boleh, bersukan boleh, nak pergi talaqi kitab-kitab fiqh dsb boleh, tapi bussiness core masing-masing patut diutamakan lebih dahulu. Jangan sampai tiada masa untuk bidang sendiri. Buat apa datang bersusah payah habiskan duit beribu, tapi bila pulang tidak menjadi seorang yang competent dalam ijazah yang diperolehi. Buat malu orang lain saja. Sebab nila setitik, rosak susu sebelanga.
-Dont be a jack of all trade but king of none-
Menjejaki Sesi Baru & Meredah Subjek Baru
Keluh-kesah sudah pun bergema:
"Subjek tahun ini susah"Tanya saya semua ini (dan seumpama dengannya), saya jawab "lantak pi la orang nak kata susah ke, berat ke, killer ke, tak cuba mana nak tau kebolehan sendiri". Bukan marah atau mempersendakan sesiapa, tapi jawapan ini yang paling sesuai buat si penanya. Jawapan tersebut saya perdengarkan buat sesiapa jua penanya soalan. Bezanya nada antonasi suara saya sahaja. Lain orang, lain pengalamannya. Kalau diberi makanan pun, sedap atau tidak, orang yang makan sahaja yang tahu menilainya.Jadi bagaimana nak lalui itu semua?
"Argh, sempat ke nak habiskan semua syllibus ini?"
"Ada yang kata subjek ni killer"
"Boleh ke aku catch-up, aku ni slow sikit"
Maka setiap perbuatan itu perlulah disertakan dengan niat yang betul. Bila ada niat, bermaksud kita sudah meletakkan titik fokus perjuangan kita. Kemudian pulun semua dari mula; pergi ke kuliah, mengulangkaji, rajin bertanya; mencari nota-nota & soalan akhir tahun yang lepas dll. Perlukah menunggu sehingga tiba musim peperiksaan baru dimulakan semua ini?
Bakal-bakal doktor/farmasis, nak ingat semua subjek itu bagai satu penyiksaan kerana jumlah pukal itu perlu diisi dalam waktu yang singkat. Nak mudah, kita aplikasi dalam kehidupan seharian. Buatlah soal jawab bersama teman, bercakap mengenai penyakit(symptoms, causative agents, treatments etc) bagi membiasakan & mengingatinya, bergurau dalam istilah perubatan pun tiada masalah. Belajar perlu seronok, baru seronok belajar.
Bila kata pulun tu, janganlah pulun 100% semata-mata dalam pelajaran sahaja. Sekiranya selesai task kita mengulangkaji pada hari itu, berseronoklah pula. Bola sepak ada (permainan kegemaran setiap petang buat sahabat aku kat Mesir), Ping Pong, senaman di gim, keluar makan di luar, in-door game pun ada untuk yang malas nak keluar PES , DOTA, berinternet dan aktiviti in-door kegemaran pelajar iaitu TIDUR. Masing-masinglah.
Kalau diikutkan, masing-masing sudah tahu teknik belajar sendiri. Cuma, perlu perbaiki mana yang perlu.
Harapan Menggunung, Usaha Melangit
Moga sesi ini, kita sama-sama bangkit memasak usaha & keyakinan kita. Setahun sudah kita lalui, masakan tidak diteliti diselidik, mana satu kelemahan diri yang perlu dibaiki. Apa yang kurang ditambahkan, yang kuat diperkasakan lagi. Rancang juga perjalanan kita sepanjang sesi ini, insyallah, moga kita nampak lebih jelas hala tuju kita kelak. Sasaran tahun ini biarlah lebih baik dari tahun sudah.
Saya sendiri tidak nafikan prestasi saya sendiri turun sedikit berbanding tahun sudah. Ia tidaklah membuatkan semangat saya turun bersama. Sekurang-kurangnya tidaklah keputusan saya jatuh merundum begitu teruk sekali. Ini suatu cabaran buat saya kelak. Insyallah saya jadikan sahabat yang lebih kehadapan dari saya sebagai teman seteru dalam perjuangan ini, dan yang berada dibelakang saya, insyallah saya tarik bersama untuk lebih kehadapan lagi.
Jangan sesekali memikirkan yang LULUS sudah cukup untuk setiap subjek peperiksaan akhir tahun kita. Kita target MUMTAZ. Bagi yang merasai pentingnya prestasi diri, mereka akan menyesal dengan keputusan yang rendah. Tapi, ada pula jenis yang merestui (bukan redha) kelayakannya:
"OK la tu, cukup makan"
"Nak buat macam mana, doc tak nak tolong naikkan markah"
"Aku tak study / pergi kuliah pun boleh lulus"
"Buat apa nak semangat pulun awal-awal, dah final year baru pulun"
"Soalan susah sangat, sebab itu dapat lulus, ok la kan?"
Akan aku lempang sekor-sekor yang cakap macam ni bila mempunyai mentaliti tersebut. Bukan menyalahkan Qada Qadar Allah, tapi, sudah tentu ditetapkan Qada Qadarnya begitu sekiranya malas dalam belajar. Kalau tidak ditanamkan benih yang elok, dibaja & dijaga, masakan tumbuh pokok yang elok.
"Timbang tampung kembali perkara yang lepas"
Pesanan Buat Yang Terlupa
Dah lupa, perlu diperingatkan. Takkan lari sifat pelupa itu dalam diri kita ini. Terkadang kita ini perlu senantiasa dileteri untuk kekal lekat sesuatu perkara itu dalam ingatan. Teguran sahabat-sahabatlah yang saya perlukan untuk memperkemaskan diri ini. Maka dengan itu perlunya saya hidup bercampur gaul dengan semua orang, supaya boleh dinilai untuk ditegur salah silap saya ini. Begitu juga dengan sahabat-sahabat saya. Mana yang kurang rapat itu, kita pereratkan kembali. Bukanlah untuk menegurnya semata-mata, tetapi untuk melengkapi antara satu sama lain.
والله أعلم
No comments:
Post a Comment