Friday, December 2, 2011

[BM] Masyarakat Islam Rupanya Diajar Menjadi Pemarah

Alhamdulillah dapat peluang untuk pulang ke Malaysia kembali pada cuti semester kali ini. Meskipun keputusan peperiksaan akhir tahun belum lagi keluar. Terpaksa mengambil risiko sekiranya ditakdirkan Allah untuk mengambil peperiksaan ulangan. Moga dapat diteruskan cuti ini hingga tempoh yang dirancang – amin.

Dalam benak hati ini berasa bersyukur dapat pulang ke tanah air tercinta, berjauhan dek hiruk pikuk suara garau sebahagian jiran-jiranku yang bangsa-bangsa Arab Mesir dari pagi hingga ke tengah malam. Sekurang-kurangnya mendapat ketenangan (meskipun sedikit) di rumah sendiri. Apa yang ingin disampaikan dalam entri kali ini, insyallah sekadar renungan diri dan moga dapat dibuka minda bersama.

Apa yang saya lihat membuat saya terfikir seketika, Masyarakat Islam kita rupanya diajar sejak kecil hingga ke tua untuk menjadi seorang pemarah. Apakah yang menyebabkan seseorang itu terdedah dengan pelbagai unsur tertentu sehingga mendidik minda separa sedarnya dan meletakkan pemikiran

Aku perlu marah?

Dari Abu Hurairah ra, bahawasanya seorang lelaki telah berkata kepada Nabi Muhammad SAW. “Berilah wasiat kepada aku”. Sahut Nabi : “Janganlah engkau marah”. Kemudian dia mengulangi beberapi kali. Sabda nabi: “Janganlah engkau marah.” (Riwayat oleh Imam Bukhari)


Sebenarnya istilah yang lebih tepat saya harus guna adalah individu-individu tertentu yang beragama Islam. Namun, isunya di sini, orang bukan Islam tidak melihat pada bangsa, tetapi agama yang dianutinya. Apabila merantau jauh, dapat diri ini menyaksikan bukti kekuasaan Ilahi tatkala mampu mengubah pandangan hidup diri ini terhadap fenomena-fenomena tipikal dalam kalangan bangsa sendiri dengan dibandingkan bangsa di luar sana. Tiada apanya yang perlu dibanggakan sangat bangsa sendiri ini jika Islam sebagai agama mulia disisihkan dari kehidupan.

Contoh terdekat saya bawakan, bangsa saya sendiri – Bangsa Melayu. Adakah menjadi suatu adat iaitu “pantang Melayu dicabar” sehinggakan sedikit provokasi boleh membawa terhunusnya keris dari sarungnya? Rata-rata akan nafikan perkara ini dan menyatakan ianya hanya sebilangan sahaja yang mengaku gagah perkasa mendabik dada sambil melafazkan kalimah tersebut. Melayu itu kaya adat dan budayanya hinggakan jalan bertunduk, berhibur berseloka, marah pun berlapik tuturkatanya.

Bagaimana pula bangsa lain yang ‘popular’ dengan kekasarannya seperti Bangsa Arab. Mereka dilihat sedemikian kerana sikap berani mereka dalam bersuara, ditambah dengan lontaran suara garau dan susuh tubuh besar (tidak semua) mereka sudah cukup memperlihatkan mereka ini harus digeruni. Tapi bukan semua Bangsa Arab itu pemarah. Mesir tidak sama dengan Saudi, Jordon tidak sama dengan Syria, Libya tidak sama dengan Sudan, begitu juga dengan baki 15 negara arab yang lain, masing-masing memiliki karekter mereka tersendiri.

Ini secara tidak langsung, isu bangsa boleh ditolak tepi. Tidak perlu menjadi rasis dalam meletakkan label pada sesuatu kaum kerana semuanya berbalik pada individu itu. Tetapi sebahagian masyarakat luar sana melihat Melayu itu Islam, Arab itu Islam (bukan sebaliknya). Maka timbul satu stereotaip iaitu bangsa tesebut mewakili Islam secara menyeluruh. Maka adakah bukan muslim ini harus dipersalahkah kerana kita yang membuatkan mereka berfikir begitu? Adakah ini salah satu agenda mereka untuk menghentam agama mulia kita? Namun, perlukah diletakkan kesalahan itu terus ke bahu mereka hanya kerana mereka melihat kita atas kaca mata agama sedangkan kita ini seharusnya mencerminkan ciri-ciri peribadi Muslim.

Hasan al-Basri pernah berkata: “Empat perkara jika sesiapa memilikinya maka Allah memeliharanya daripada syaitan dan mengharamkan ke atasnya api neraka: (iaitu) Sesiapa yang mampu mengawal dirinya ketika dalam keghairahan, ketakutan, syahwat dan kemarahan.”

Rumahku Syurgaku

Di sisi kita yang paling dekat adalah keluarga kita sendiri. Meskipun tidak semua keluarga penyebab kemarahan, namun tidak dinafikan juga segala personaliti kita dididik dari rumah. Peranan keluarga dalam membimbing anak-anak menjadi insan penyabar, pemaaf dan penyayang. Baitul Muslim terdiri daripada bapa yang bertanggungjawab terhadap isteri dan anak-anaknya, isteri yang mentaati suami serta menjadi ibu yang mendidik anak, manakala anak perlulah patuh kepada kedua mereka selagi mana tidak melanggar syariat Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:

“Ajarlah kebaikan kepada anak-anak kamu dan keluarga kamu dan didiklah mereka.” (Hadis riwayat Abdur Razzaq dan Said bin Mansur)

Rasulullah SAW bersabda lagi:


“Tiada seorang bapa yang memberikan sesuatu kepada anaknya yang lebih bermakna daripada pemberian adab yang baik.”(Hadis riwayat at-Tirmizi)

Hairan apabila institusi kekeluargaan diabaikan. Ada yang memberi alasan kesibukan di pejabat, pergi awal pagi pulang lewat. Hinggakan kesibukan dan tekanan di pejabat dibawa bersama ke rumah. Pertengkaran suami isteri atas sebab yang terlalu kecil. Anak-anak terabai-abai sehingga terikut-ikut budaya liar. Adik beradik bertegang leher. Anak beranak terjerit-jerit. Sehinggakan, apabila pulang ke rumah tidak menjadi tempat istirehat dan bermesra. Hilang keinginan untuk bersama. Syurga apatah lagi. Doakan supaya kita, pasangan kita dan zuriat-zuriat kita dijauhkan dari sifat-sifat tersebut.


Program Transformasi Nasional


Latar belakang sosial seseorang individu termasuklah dengan lanskap ekonomi, media massa & kestabilan politik. Setiap negara yang majoritinya beragama Islam seringkali mengalami masalah dalam skop yang dinyatakan tadi. Biarpun beralasankan Negara-negara Islam ini semuanya negara membangun (Developing Country), namun apakah tidak dibawakan bersama-sama dengannya acuan Islam?


Meskipun dianugerahkan Allah dengan hasil bumi yang pelbagai sehinggakan negara tertentu menjadi pembekal bahan mentah yang terkemuka, namun masih menjadi tanda tanya apabila ekonomi negara tersebut tidak menjadi hasil bersama rakyat jelata. Hanya yang memonopoli cabang perniagaan tertentu sahaja yang terus kaya raya dan baki yang lain terus miskin kedana. Hinggakan keinginan milikan harta duniawi ini mencekik diri dan membutakan nilai akhirat. Krisis ekonomi dunia dijadikan alasan naik harga barang serta kekurangan bekalan. Yang kaya akan mengamuk bila wang pelaburannya menjadi rugi, yang miskin kebingungan dan berada dalam tekanan untuk menyara hidup keluarganya.


Ketidakstabilan politik bagi sesuatu negara penting dalam membawa halatuju program-program kerajaan. Musuh Islam terutamanya negara barat yang dikuasai Zionist Yahudi seringkali mencampuri urusan negara-negara Islam selagi terdapat ruang baginya masuk. Dengan dakyah mengkafirkan Islamnya, sekatan ekonominya, pengisytiharan perang ke negara-negara yang menggugat mereka ini menghimpit Umat Islam kini. Ditambah pula dengan penguasaan mereka terhadap pemimpin-pemimpin negara tersebut menguatkan lagi kebencian rakyat terhadap pemimpin boneka secara tidak langsung menyerang Negara Islam dari dalam.

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu. (Al-Baqarah: 120)

Pemimpin Negara Islam yang tidak layak terpilih pula menerajui negara. Sedangkan mereka seharusnya menjalankan tugas pimpinan ini dengan amanah. Mereka ini pula lebih suka memboloti harta kekayaan negara untuk diri dan kaum kerabat mereka. Terabailah rakyat marhaen dengan kepapaan mereka, tidak memiliki harta, kebuluran, tersepit dek undang-undang yang hanya menindas mereka. Kemudian penekanan inilah yang menyebabkan kebangkitan rakyat melawan dan menjatuhkan Kerajaan-kerajaan Firaun dan Namrud ini.


Peranan media massa seharusnya membantu kepada pembangunan ummah dalam pembentukan intelektual. Sayangnya penyalahgunaan teknologi kini menyebarkan fitnah, kutukan antara satu sama lain. Di keratan akhbar menuip api perkauman dan sentimen agama, di medan penyiaran menyebarkan penipuan, dalam lapangan lakonan pula menunjukkan babak pergaduhan dan perbalahan. Sememangnya masih ada lagi ahli media ini mengekalkan etika & menjaga akhlak mereka. Tetapi hanya segelintir sahaja. Berjayalah peranan media ini apabila pengguna menyukai dan permintaan menghasilkan lebih lagi produk seperti tadi.

Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran) (Al-Baqarah: 10)

Janganlah Engkau Marah


Mengawal kemarahan itu bermula dari diri sendiri. Dengan mengelakkan diri menyertai perbalahan, persengketaan dan bersangka buruk dapat mengelakkan diri kita dan orang lain daripada menyalakan api kemarahan. Lihat sekeliling kita dan fikirkan bersama. Mahukah kita terus membiarkan fenomena ini kekal dan berkembang selama-lamanya. Perdekatkanlah diri dengan kebaikan dan agama nescaya keburukan itu dapat dijauhi.

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan). (Al-Imran: 200)

No comments:

Post a Comment