Tuesday, October 1, 2024

[BM] Aku, Aku & Aku

Melihat dunia dari kaca mata aku ini, hanya mampu fahami dari sudut akal diri sendiri sahaja. Aku bukan memiliki kuasa mengawal mahupun mendengar isi hati nurani manusia lain. 

Begitu juga kamu. 

Kemampuan diri ini adalah dengan cuba mengenal pasti bibit-bibit ceritera yang dipamerkan dari segala sudut komunikasi yang kamu serlahkan secara zahir mahupun tersembunyi.

Mahu aku faham kamu, tapi kenapa bukan kamu pada aku. 

Memohon beribu simpati tanpa terima sedikit empati, tidak akan menyelesaikan masalah yang aku alami. Apatah lagi masalah yang kamu pendam dalam sudut hati.

Mahu tidak mahu, sesiapapun tetap akan mengalami situasi sama.

Tanggapan negatif itu datang dari peribadi penilai. Apa yang dizahirkan dengan tingkahlaku seseorang itu tidak semestinya sama sudut faham bagi orang lain. Maka perlukan suatu struktur pengajaran & pendidikan bagi kenal pasti apa yang positif dan apa itu sebaliknya. Dari situ datangnya hidup dengan pegangan agama.

Aku ini bukan Tuhan, Yang Maha Mengetahui, Yang Maha Mendengar, Yang Maha Melihat ke atas semua makhlukNya. Kerana itu, diajari perlu memahami emosi diri serta memahami tingkah laku serta emosi luahan orang sekeliling supaya boleh menjadikan persekitaran komuniti kita senantiasa harmoni.

Islam mengajar aku untuk menjadi lebih baik dari semalam. Baik dari sudut Addin sebagai satu cara hidup, gerak tingkah laku serta cara berurusan dengan diri, keluarga, masyarakat dan sebagai sesebuah negara.

Tak mustahil aku ini melakukan kesilapan dalam memahami agama. Maka dengan itu aku perlukan bimbingan. 

Aku ini yang telah hanyut, bukan lagi di ketepian tempat yang mampu aku berpaut. Aku kini ditengah-tengah lautan dilema dan sepi. Sesekali tenggelam, sesekali timbul dilambung ombak emosi diri. Sentiasa dihempas ke atas dan ke bawah taufan kerisauan tanpa jejak. 

Aku yang sentiasa terkapai-kapai mencari pautan, lemas tanpa tali.
Aku seru dan rayu bagi tangan-tangan yang mampu tarik aku kembali ke atas untuk bernafas dari lemas.
Aku seru dan rayu bagi tangan-tangan yang mampu pimpin aku ke daratan untuk berpijak di bumi nyata.
Aku seru dan rayu bagi tangan-tangan yang mampu junjung aku ke puncak untuk kembali dekat dengan Tuhan.

Jika aku memohon rayu pertolongan dari manusia makanya aku telah terumbang-ambing
Jika aku senyap tanpa jawab, aku sedang hanyut & kelemasan.


Tapi jika semua di sekeliling aku juga merasakan AKU, AKU & AKU sahaja, apa akan jadi dengan aku?


No comments:

Post a Comment