Wednesday, May 15, 2013

[BM] 13 Mei bagiku

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani,

Cukup-cukuplah aku berharap akan isu perkauman sempit yang saban hari dilaungkan oleh orang yang mengimpikan huru-hara. Dek kerana laungan mereka mencetus kegelisahan mereka sendiri. Tiada apa yang perlu dirisaukan peristiwa 13 Mei 1969 dahulu berulang kembali, melainkan puak ini juga yang rindukan sangat hari itu menjadi.

13 Mei 2013, Perlukah Berulang?

Aku tak maksudkan isu politik negara dalam teks kali ini. Aku tak maksudkan soal huru-hara sejarah lama. Aku maksudkan peristiwa yang dilalui kami sekeluarga. Pinjaman Allah diseru pulang kepada-Nya. Ayah kesayanganku, menyahut seruan itu.

2:156
(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." (Surah Al-Baqarah: 156)

Tiada perasaan kecewa melainkan sebak didada. Tiada perasaan benci melainkan sayang akan dia. Tiada perasaan dusta akan takdir melainkan redha kami anak-beranak sesama sendiri. Tiadalah pergi tanpa iringan melainkan tamat kalam tasbih disurah Yasin bacaan anak & isterinya.

Permulaan kisah bagiku dalam keadaan memahami apa erti kematian. Permulaan bagiku dalam mengerjakan sendiri pengurusan jenazah. Permulaan bagiku menerima jasad kehormat ke liang lahad. Permulaan bagiku moga ianya janji ujian buat hamba-Nya yang beriman.

Sakitnya dizahirkan jam 12 pagi tersebut. Meminta bantuan anak mengurut untuk legakan senak perutnya. Apabila tiada kesan urutan, makanan alas perut, mahupun ubat analgesik, nasihat seterusnya adalah rawatan rasmi.

13 Mei, Kekuatan Bangsa Malaysia

Jam 2 pagi, bermulanya khidmat dari doktor india muslim di sebuah klinik am. Dek kerana tidak susut geringnya, meminta kami terus berkejar ke unit kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun.  Jam 3 pagi, usai tiba wad kecemasan, Ayah disambut dengan doktor melayu bagi proses triage. Dengan hemah profesional para doktor & MA melayu cina dan india di zona kritikal melakukan rawatan awal dan selidik punca kesakitan. Makluman awal jam 4 pagi, keadaan Ayahku dijelaskan oleh seorang india. Sempat jua kukerling melihat 2 orang cina memeriksa fungsi mesin bantuan pernafasan & indikasi vital di sisi katilnya. Semuanya berusaha menyelamatkan & menenangkan tenat dan deritanya.

Selesai solat subuh, cadangan kepada anak & isteri supaya pulang dahulu sementara menunggu kekosongan & proses pertukaran ke wad rawatan jantung. Jam 10, Pertukaran ke wad rawatan jantung oleh ketua jururawat melayu. Penjelasan keadaan terkini ayahku kali ini oleh doktor melayu. Selidik latar penyakit ayah juga doktor melayu, semuanya bagi memudahkan proses komunikasi dan susulan dengan melayu.

Sebuah penerangan perlukan intubasi pernafasan diserahkan kepada doktor melayu. Kemudian taklifan shift jam 2 petang, diserah kepada doktor cina. Penjelasannya mudah difahami, buat anak & isteri agar tiada rasa sunyi dari rahsia tersembunyi. Mak Ndak (adik perempuan Ibu) tiba untuk melawat iparnya. Peluang juga dia bertanya sedikit sebanyak perkembangan ayah.

Bacaan awal Yasin buat kali ketiga mula berkumandang jam 3.15 petang di luar wad. Seawal lembaran itu jua kemudiannya dimaklumkan doktor ayahku tenat & perlukan rawatan kecemasan. Detik cemas, namun masih kekal dengan harapan, disambung bacaan surah keramat.

13 Mei, Jemputan Khas

3.30 petang, Mak Ndak pesan padaku untuk masuk membantu jika mampu. Aku memilih untuk berada dihujung kakinya sambil menghabiskan alunan bacaan, dalam waktu yang sama 'chest compression' bersilih ganti. Tatkala selesai kalimah tasbih akhir surah dibaca, tatkala itu, doktor cina seolah fasih bahasa arab jua berhenti proses rawatan. 3.45 petang, redha dengan jemputan Ilahi, aku keluar maklumkan kepada ibu berita hak sebuah kematian. Redha Allah siapa yang tahu, petandanya apabila kami berdua memaklumkan tamat bacaan seiringan pemergiannya.

36:83
Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!) - Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.(Surah Yasin: 83)

Semua kerabat dimaklumkan jemputan kepulangannya. Semua kerabat, berusaha menyatakan kesudian ziarah akhir. Orang 'besar' kawasan dimaklumkan, hadir mereka menyiapkan 'balai kehormat'. Aku membantu sekadar menyediakan 'kain lepas' dan menunjukkan tempat simpanan hamparan. Orang 'besar; kawasan ini semualah yang menguruskan segalanya. Dikala itu, urusan penghantaran diselesaikan dari hospital hingga ke rumah. Ibu mengiringi bersama Mak Ndak.

Jenazah tiba jam 4, dipandu lelaki yang kusangka mungkin india. Jenazah diiring masuk ahli kariah. Jenazah diiring bacaan surah. Jenazah diiring akhir ziarah. Jenazah diiring rakan dan kerabat.  Jenazah diiring sebak akan hakikat. Jenazah diiring redha & rahmat.

13 Mei, Penuh Dengan Ukhwah

Semua memainkan peranan. Semua menyatakan solidariti. Semua menunjukkan Umat Islam itu bersaudara. Semua bangsa turut hulurkan bantuan & penghormatan. Semua itu memudahkan proses ayah dari mula geringnya hingga dibawa pulang ke rumah.

Seorang demi seorang memberikan penghormatan terakhir. Sebak hiba sedih tak sangka, perasaan semua bercampur baur. Aku hanya melihat bertapa seorang insan ini mampu menarik dan menyentuh jiwa insan lain. Aku tahu, semua ini kesan penghubungan silaturrahim Ayah semasa hidupnya. Dengan itu, pemergiannya itu benar-benar dirasai semua yang mengenalinya.

Bacaan Ayat Suci Al-quran bersilih ganti. Dari huruf ke huruf, ayat ke ayat, lembaran ke lembaran, surah ke surah seterusnya. Tasbih, Tahmid, Takbir & Tahlil membasahi lidah-lidah jemaah. Moga sedekah dan hadiah mereka mengisi saham dan mengiringi Ayah nanti.

13 Mei, Sehari Selepasnya

Sesudah hening subuh, Aku menyambung bacaan Al-Quran disisinya. Aku tahu, Ayah semalaman ditemani Ibu dengan bacaan membasahi bibir ibu. Bacaan surah ini, sebagai pengisi masa sementara menunggu ketibaan kenderaan khas membawanya ke kamar mandinya nanti.

Alhamdulillah, proses memandikan Ayah, amat mudah sekali. Kehadiranku di sisinya menjalankan usaha akhir seorang anak menjaga maruah dan tubuhnya. Sesudah selesai diwudhukkan ayah, setiap ahli keluarga terdekat diberi peluang mengalirkan air ke atas jasadnya. Usai itu, tubuh ayah kulapkan kering, bersiap sedia untuk dipakaikan pakaian indah terakhir buatnya.

Mengetuai Solat Jenazah dengan kehadiran yang kujangkakan lebih 50 Orang. Cukup sekadar kemampuan asas itu, Aku berdoa panjang ke atas Ayah. Meski sebak menyebut kalimah yang Aku faham sungguh maknanya, tiada pangkuan tugas Aku serahkan kepada sesiapa. Kerana Aku inginkan setiap sebutan lafaz huruf itu betul dan maknanya dihayati supaya, para jemaah yang mengaminkan dapat mengangkat doa itu terus ke Allah Azzawajalla.

Perjalanan seterusnya ke tanah perkuburan. Ayah ditemani Ibu dan anak lelaki saudara Ibu. Aku pula diiringi Pak Ngah (Abang Ayah) serta Mak Cu (Adik Ibu) ke sana. Mungkin risaunya kerana Aku yang kehilangan Ayah. Namun tiadalah sebak itu mengganggu rasional dan ketabahan hati kecil ini. Harapan cuma perjalanan dipermudahkan.

Setibanya di kamar akhir Ayah itu, Aku terus diberi peluang menyahutnya bersama saudara lelaki Ayah yang berkemampuan. Diturunkan perlahan-lahan. Diletakkan perlahan-lahan. Dibantalkan tanah perlahan-lahan. Diselimutkan tanah perlahan-lahan. Ditalkinkan Imam perlahan-lahan. Didoakan olehku perlahan-lahan. Diaminkan jemaah perlahan-lahan.

20:55
Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi.(Surah Taha: 55)
13 Mei, Dalam Ingatan

Mudahnya urusan pengurusan Ayah. Tiada deritanya dipanjang-panjangkan Allah. Kerana Allah lebih menyayanginya, apa yang dipinjamkan harus dikembalikan. 
 Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan). Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan tempatkan mereka dalam mahligai-mahligai di Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya. Demikianlah balasan yang sebaik-baiknya bagi orang-orang yang beramal soleh - (Iaitu) mereka yang sabar, dan mereka pula berserah diri bulat-bulat kepada Tuhannya.(Surah Al-Angkabut: 57-59)

No comments:

Post a Comment