Sunday, November 4, 2012

[BM] Up-grade Kemahiran Membaca Anda

Penguasaan ilmu bermula dengan milikan kemampuan membaca. Satu proses penting dalam mana-mana tamadun manusia hingga kini yang mana, penyebaran dan pemahaman terhadap ilmu itu dengan memahami teknik membaca. Didik diri dengan mendekati budaya ini.

Tidak kira dari umur berapa sekalipun kita, mulakannya dari sekarang! Jangan sekat capaian ilmu itu dengan sekadar 'mentaati' hiburan semata-mata. Fikir sejenak, selain bacaan wajib ditempat belajar & kerja, bila lagi waktu yang diluang untuknya?

Had: 24 Jam Sehari 

Bangun tidur waktu pagi,
Terbelek akhbar & berita hari ini,
Cukupkan dengan hal sensasi,
Modal sembang dengan rakan nanti

Muka Buku & Cicitan dihujung jari,
Asyik dengan muzik terkini,
Tengok juga realiti TV,
Kunjungan panggung sebulan berkali-kali,
Hasilnya informasi tentang selebriti.

Bersorak riuh di Stadium Negeri,
Penyokong kuat pasukan sendiri,
Tak dapat tiket, ASTRO pun jadi,
'Moreh' mamak dengan teh tarik & roti,

Harap diluang masa dalam sehari,
Setidaknya beri seminggu sekali,
Pilih bahan mudah dihayati,
Jangan kosong diakal & hati.

Baca: Suatu Kemahiran

Memang kita tak sempat untuk belek bergudang-gudang buku ilmiah yang ada. Semua tahu bahawa tak terkejarnya kita dek arus pemodenan & perkembangan ilmu.

Setidak-tidaknya, luangkan diri dengan keratan akhbar, artikel ringkas, cerita pendek sebagai permulaan. Mulakan dengan topik serta genre yang paling diminati serta kuantiti yang mampu dahulu.

Jika diikut pola pembacaan dari awal asuhan hingga ke peringkat universiti, proses pembelajaran itu disesuaikan dengan peringkat umur. Meskipun berbeza julat umur ini antara negara, secara kasarnya adalah seperti berikut:
  • Tadika (3-5): Kenali huruf , Cara sebutan, Makna perkataan & ayat
  • Sekolah rendah (6-12): Kaedah penyusunan asas ayat, Penulisan kreatif pendek (<120 patah perkataan)
  • Sekolah menengah(13-17): Kaedah penyusunan ayat dinamik (sastera), Kaedah rumusan,  Penulisan kreatif panjang (<250 patah perkataan)
  • Sekolah tinggi/ universiti (>18): Speed Reading, Study reading (SQ4R = Survey, Question, Read, Recite, Rite, Review)

Bersesuaian dengan tahap pendidikan seseorang itu, kemahiran membaca amat diperlukan bagi memudahkan urusan dan kecekapannya pada peringkat tersendirinya.

Bagaimana Kita Membaca?

Dua peringkat asas teknik membaca kita telah pun lalui iaitu 'Mengenali huruf' & 'Mengenali sesuatu perkataan'. Sama juga sekiranya kita cuba mempelajari bahasa baru, perkara asas ini yang akan membentuk jaringan perbendaharaan kata kita kelak.

Tetapi, di manakah kita berada pada peringkat seterusnya? Adakah anda 'Membaca dengan kuat (Read out loud)' atau 'Membaca dengan perlahan (Read to yourself)'? Jika anda berada pada salah satu daripada kedua-dua peringkat ini, teknik pembacaan anda masih terhad. Ianya tidak menjejaskan kehidupan anda langsung, cuma capaian maklumat anda akan terbantut dengan hanya terhenti di dua peringkat tersebut.

Teliti kembali proses naik taraf (up-grade) pembacaan kita:
  1. baca dengan sebutan
  2. perkataan demi perkataan
  3. baca dengan kuat
  4. menggerakkan mulut
  5. sub-vokal (membayangkan bunyi sebutan)
Sekiranya anda sekarang berada pada peringkat pengajian tinggi dan masih tersekat pada nombor 4, adakah ianya membantu dalam urusan belajar (studying) , ulangkaji (revision), penyelidikan (research)? Apatah lagi dengan limitasi masa yang amat suntuk dalam sehari dengan subjek yang berbeza serta sumber bacaan yang banyak.

Percaya atau tidak, jika anda berada pada nombor 5 sekalipun, ianya menghasilkan kesan yang sama, cuma tidak terbeban seperti yang keempat.


Upgrade 6.0: Silencing Sub-vocalization

Sekiranya anda pernah ikuti modul asas bagi Speed Reading di awal kemasukan anda ke universiti/kolej, anda adalah antara orang yang bertuah mendapat pendedahan tersebut. Secara ringkasnya ianya merupakan modul 'belajar cara belajar' di pengajian tinggi.

Modul-modul ini banyak terdapat di dalam internet. Kebanyakannya disediakan terus dari pustaka maya universiti-universiti yang menyediakan kursus tersebut kepada pelajar mereka. Tutorial yang mudah untuk sesiapa sahaja yang mahu tingkatkan kemahiran membaca mereka bagi mempermudahkan pemperolehan ilmu mereka.

Tak perlu risau sekiranya anda masih diperingkat nombor 3 sekalipun, teknik tersebut akan bantu anda hingga mencapai tahap optima anda dalam pengajian kelak.

Sekiranya anda telah sampai ke tahap mampu membaca sesuatu artikel dengan hanya sekilas masa yang pendek, ianya bakal membuka peluang anda untuk gudang ilmu yang lebih luas lagi.

Tidak semestinya perlu untuk bacaan ilmu semata-mata. Mungkin karya penulis novel yang anda gemari juga mampu dihabiskan dalam julat yang kecil. Terkejar-kejar dek masa dalam mencari-cari maklumat dapat diselesaikan dengan sekali tatal (by one scroll). Apatah lagi kita sibuk dengan kerja masing-masing hinggakan 24jam had masa sehari itu tidak pernah cukup apabila cintanya kita kepada Ilmu.


Justeru, perlu sekalian manusia tidak dibatasi untuk memiliki kemahiran ini, malah perlu disahut juga Firman Allah SWT dalam kalam agungNya termahsyur pertama diturunkan kepada Baginda Rasulullah SAW, terabadi sebagai ayat 1-5, Surah Al-'Alaq, supaya manusia itu bermanfaat hidupnya dengan Ilmu.




Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

No comments:

Post a Comment