Alhamdulillah, sepanjang perjalanan dalam hidup ini, saya diberikan peluang untuk sentiasa bergerak maju kehadapan. Daya bergerak itu pula adalah dengan bantuan daya dari sekeliling saya. Percayalah, jika bukan sebab ada yang tolak saya kehadapan, tidak mungkin mampu saya kekal bergerak maju. Apa kaitan kesan tolak dengan saya yang maju kehadapan?
Segala daya di sekeliling saya
Saya dikelilingi dengan pelbagai 'daya' (force) yang membantu saya hingga kini. Daya-daya ini sama ada:
- Pimpin (leading)
- Angkat (lifting)
- Tujahan (thrusting)
- Heret (draging)
- Beban ke bawah (pulling down)
- Tolak (pushing)
Saya tinggalkan dahulu 'Daya Tolak' kaitan tajuk entri ini, untuk beri ruang penjelasan daya-daya lain terlebih dahulu.
Daya asas pada permulaannya
Mulakan dengan 'Daya Pimpinan'. Sudah tentu ianya hadir sebagai peranan ibu dan bapa saya. Suatu daya yang senantiasa di sisi sejak kecil. Mungkin pada sesetengah orang, peranan daya pimpin ini diletakkan pada penjaga mereka. Peranan pimpinan ini yang menjadi sebahagian daya tujahan kepada saya dikala belum terdidik dan tertanam matlamat hidup yang jelas sebelum mencapai aqil baligh.
Dan kini ianya menjadi nilai tambah (adjuvant) buat saya sementara mereka masih ada lagi. Daya ini juga akan bertambah dengan bakal keluarga saya sendiri kelak. Biarpun mereka tidak kekal di dunia ini, ia tetap akan kekal menjadi suatu aspek penggerak membawa saya terus kehadapan.
'Daya Angkat' pada saya, telah saya letakkan pada Addin saya, iaitu Islam sebagai bantuan mengelakkan saya kekal jatuh dan berada di bawah. Peranan ini terangkat sejak Syahadatain (Dua Penyaksian) dengan ikrar dalam hati, ucapan dengan lidah & perbuatan saya iaitu لا إله إلا الله محمد رسول الله , tiada tuhan (yang layak disembah) melainkan Allah, Muhammad itu Rasul (utusan) Allah.
Suatu peranan jelas terletak pada jiwa seorang muslim yang faham fungsi Addin dalam membawa manusia menjadi khalifah di muka bumi ini, setidak-tidaknya pemimpin atas apa yang dipertanggungjawabkan.
Dua daya asas ini membentuk peranan asas dalam kehidupan awal saya dan juga seterusnya.
Ke mana arah saya?
Bila dikatakan ilmu fizik yang berkait dengan daya dan pergerakan (force and movement), daya pengerak itu disamakan dengan daya tujah. 'Daya Tujah' itu saya tetapkan pada 'keinginan' diri saya sendiri terhadap matlamat. Mustahil jika wujud daya-daya lain, tetapi tidak wujud satu kemampuan pada diri saya untuk menuju ke suatu arah. Tak berubahlah tempat saya berdiri melainkan ke mana sahaja daya-daya di sekeliling saya tumpukan terhadap diri saya ini.
Jika kuat 'perkiraan' jumlah daya yang 'dikenakan' pada saya ke arah baik, maka menyusur saya ke sana, jika tidak, terjadilah sebaliknya. Jika kedua-duanya yang bertentangan antara satu sama lain itu sama kuat, maka kekal ditempat saya berada. Tiada kemajuan. Ia tidak membawa saya ke mana-mana.
Tapi mustahil manusia tiada keinginan dan itulah yang mendorong arah tujuannya dalam hidup. Akhirnya, jika dipilihnya baik hala tujunya, maka baiklah akhirnya, jika dipilih buruk hala tujunya, apa lagi yang tinggal?
Sama bukan dengan apa yang dituntut dalam Agama Islam. Malah direkodkan dalam Al-Quran dengan difirmankan Allah dalam Surah Al-Anfal ayat 53 dan dalam Surah Ar-Ra'd ayat 13. Direkodkan juga dalam Sirah Rasulullah SAW pada saat Hijrah ke Madinah bila mana Rasulullah menerangkan Hadith 'Niat' yang umum diketahui umat Islam.
Opposing Factors
Semestinya wujud perkara yang akan menentang (oppose) kita dari terus maju kehadapan. Dua daya yang berbaki iaitu 'Daya Heret' dan 'Beban Ke Bawah'. Namun kedua-duanya merupakan pemboleh ubah yang dimanipulasi. Sama ada
- Waktu/Masa
- Kewangan
- Kerja
- Hiburan
- Saudara Mara/ Sahabat Handai
- Perasaan
- Nafsu
- dan lain-lain
Siapa yang tolak?
Saya pilih 'musuh' saya sebagai 'Daya Tolak'. Takrif musuh ini saya tujukan bukan sahaja pada Iblis & Syaitan kerana ianya adalah musuh yang nyata buat anak Adam. Malah Makhluk Laknatullah ini tetap tidak berjaya jika akhirnya bukan saya sendiri yang memilih menuju ke arah kesesatan. Moga kita semua diperkuatkan Iman dan Taqwa kepada Allah dan RasulNya.
'Musuh' yang menolak saya ini berlegar di sekeliling saya. Ianya ada pada keluarga, sahabat malahan orang yang belum pernah saya kenali. Pelik bukan memusuhi semua orang?
Bukan individu yang dimusuhi tetapi sikap buruknya sahaja. Kejahilan, malas, panas baran, sikap tidak ambil peduli, malas, apa jua yang negatif. Benar sebagai manusia kita tak terlepas dari melakukan kesalahan. Mustahil ketika saya sedang lakukan sendiri perkara tersebut, saya berada dalam keseimbangan daya yang positif.
Bila mana sikap malas dan tidak ambil peduli orang lain menolak saya untuk melaksanakan sesuatu. Sikap baran dan tidak beradap menolak saya menjadi penyabar. Orang benci pada saya? Dia menolak saya jauh dari diri mereka. Cubaan orang untuk menjatuhkan (literal mahupun kontekstual) saya? Dia secara tidak langsung menolak saya untuk menjadi lebih tabah dan berupaya bangun menghadapinya.
Di akhirnya, saya amat berterima kasih kepada mereka yang pernah menyumbang dayanya menolak saya.
Jika bukan kau tolak aku kehadapan, aku tak akan berada di tempat aku berada sekarang.
Dan saya ternanti-nanti siapa lagi yang bakal 'menolak' saya. Maka, bila ada orang lain tolak anda, gunakan daya tersebut untuk terus mencapai kejayaan.
No comments:
Post a Comment