Saturday, September 29, 2012

[BM] Penguasaan Bahasa Tertier

Baru-baru ini dalam laman sosial, saya banyak mengetengahkan aspek penekanan penguasaan bahasa dalam kebanyakan komen kepada isu-isu yang berkaitan.

Antara isu yang saya ikuti adalah 'pendidikan awal menggunakan Bahasa Kebangsaan atau Bahasa Inggeris', 'Sekolah Vernakular', 'PPSMI' dan 'Bahasa Ilmu Dunia'.Memandangkan kebanyakan isu tersebut mempunyai perbahasan yang panjang lebar dan melibatkan dasar pendidikan negara, saya ketepikan dahulu perkara-perkara tersebut.

Kita cuba fokus kepada isu 'Bahasa Tertier'. Lihat situasi dalam kartun manga di bawah ini. Apakah yang boleh kita kaitkan?

Team Medical Dragon: I do not own the copyrights of the artwork



Walaupun kita hanya mungkin berkhidmat untuk negara kita sahaja, tetapi, mengapa tidak kita juga meningkatkan pengetahuan dalam bahasa-bahasa lain? Dunia kini menetapkan 3 bahasa sebagai penguasaan minimum untuk para profesional. Manakala golongan lain adalah seperti berikut; 2 bagi orang awam & hanya 1 untuk buta huruf.

Pemilihan Bahasa

Pada pandangan saya, ianya melihat kepada penggunaan kita nanti. Memandangkan komposisi kaum tempatan di Malaysia dan tumpuan pelancong asing, pemilihan bahasa tersebut sebagaimana fungsi dan kekerapan penggunaan untuk dipraktikkan kelak.

Tidak menjadi masalah jika dikaitkan penguasaan bahasa untuk pemahaman istilah sahaja, kerana jurang perbincangan sebarang topik sesama 'profesional' dalam lapangan ilmu masing-masing dapat dikurangkan. Tetapi perlu kita ingat dalam masa yang sama fokus dua hala dengan pelanggan yang terdiri dari bukan golongan profesional, tidak boleh diketepikan.

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)


Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku


Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah,


Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan,


Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.
Memandangkan bahasa yang paling dekat dengan individu Muslim adalah Bahasa Arab, maka tidak boleh tidak ia perlu disertakan dalam nilai minima ini. Jika lihat sahabat warga senegara kita yang lain, mereka lebih berpotensi menguasai bahasa ibunda kaum masing-masing (tidak termasuk loghat dan pelat) juga memperlihatkan kuota am profesional mereka telahpun dipenuhi.

Mengelak Salah Faham

Hasil jelas pada mereka yang menguasai bahasa ketiga (dan seterusnya) dapat mengurangkan jurang sosial (golongan illiterat, pertengahan & profesional), kaum (bahasa pengantara) dan ekonomi (sekitar Asia tenggara/ Asia). Ini menunjukkan khusus bagi individu Muslim, sebagai peranan dakwah fardhi perlu menilai kembali nilai minima penguasaan bahasanya, sama ada cukup baginya dengan 3, atau perlu lebih dari itu.

Di dalam satu riwayat, Zaib bin Thabit berkata yang bermaksud:
“Rasulullah SAW telah mengarahkan saya untuk belajar bahasa Yahudi. Lalu saya pun belajar persuratan Yahudi. Baginda telah berkata: “Demi Allah, aku tidak percaya dengan bangsa Yahudi dalam persuratanku.”
Maka saya pun mempelajarinya dan tidak sampai setengah bulan, saya telahpun dapat menguasai bahasa Yahudi. Justeru, sayalah yang menulis surat Rasulullah SAW kepada orang Yahudi dan membaca surat mereka kepada baginda.”
(Hadis riwayat al-Imam Abu Daud, No. 3645 dan dinyatakan statusnya sebagai Hasan Sahih oleh al-Albani).
Alasan: Kualiti Primer Masih Tidak Setanding

Menjawab persoalan tersebut, saya bawa kembali perhatian untuk melihat status dan keinginan indivitu. Dia yang akan menentukan dirinya kekal menjadi 'orang awam' atau berpindah kepada 'profesional'. Namun perlu diingat, lapangan tugas kita khususnya pelajar di Mesir yang mempelajari Cabang Sains Kesihatan dan Pengajian Agama Islam, sudah tentunya akan lebih menjurus kepada hubungan awam (public relationship). Secara tidak langsung jika memilih bilangan penguasaan bahasa yang lebih kecil/ untuk kekal menjadi orang awam, tidak menempatkan kita kepada fungsi lapangan kerja masing-masing.


Pemahaman bahasa asing akan membawa kepada pemahaman bahasa ibunda kita sendiri, secara tidak langsung, kita tidak mengetepikan penguasaan bahasa asal. Ini kerana tidak semua kalimah dalam bahasa tertentu dapat diterjemahkan sepenuhnya. Dengan memahami lebih banyak perbendaharaan kata dari bahasa-bahasa yg dipelajari, secara tidak langsung memperkukuhkan aspek tatabahasa jika bukan pada sekunder atau tertier, paling tidak, impaknya pada bahasa prima individu.

Bila Perlu Tingkatkan?

Pada pendapat saya, kualiti (perbendaharaan kata) dan kuantiti bahasa perlu ditambah apabila melepasi capaian minima kedua-duanya iaitu, pengguna (kita) mempunyai pemahaman dan kemahiran dalam merangka ayat serta mampu bertutur dalam bahasa yang digunakan.

Bahasa tidak akan merugikan penggunanya kerana pintu ilmu buatnya bertambah dan terbuka ruang serta peluang. Yang merugikan seseorang itu, apabila peluang depan matanya diketepikan begitu saja.
'Ilmu tanpa amal, ibarat pohon tanpa buah'
Sememangnya kita tidak lari dari kesilapan, tetapi, setiap kesilapan perlu diperbetulkan dan tidak berulang kembali. Jika alasan 'saya pelajar sains, bukan pelajar bahasa/sastera', secara tidak langsung, menunjukkan penutur menghina budaya Ilmu iaitu memahami penggunaan bahasa yang betul.


Nota:
Kredit untuk saudara Eimaduddin yang menimbulkan persoalan-persoalan yang berkaitan.

No comments:

Post a Comment