بسم الله والصلاة والسلام على رسول الله
"Siapa dan apa kemampuan saya?" merupakan soalan yang perlu sentiasa dijawab diri kita sendiri.
Kebetulan beberapa hari lepas, sempat berbual dengan sepupu yang masih bersekolah dan bakal memasuki universiti. Berikut adalah olahan kembali dan sedikit berbeza dengan apa yang saya sampaikan kepada mereka (olahan bergantung kepada pemahaman dan peringkat umur).
Moga perkongsian ini memberi manfaat pembaca andai sudi ianya membimbing anda yang sememangnya hebat-hebat belaka.
Penilaian: Tanah Perlu Sama Rata
Jika persoalan ini ditujukan kepada orang lain, penilaian itu hanya boleh dikeluarkan oleh 'Tuan Punya Badan'. Bukan 'Tukang Tanya' dan bukan juga 'Orang Sekelilingnya', tetapi 'Tuan Punya Badan'. Maka, nilai yang dikeluarkan dan dirujuk tadi berbentuk subjektif milik sang pembicara.
Mana mungkin nilai itu diolah dalam kerangka objektif. Ianya jelas, bila mana wujud perbezaan ketara antara individu ke individu yang lain. Sebab itu, penilaian objektif yang ada kini sekadar mengukur sebahagian sudut sahaja dan bukan secara kolektif. Andai dibentuk juga penilaian yang digembar-gemburkan menyeluruh sekalipun, ada beberapa pembolehubah (variable) yang menjadikan faktor keputusan ujian itu berbeza.