Thursday, June 6, 2013

[BM] Siapa dan Apa Kemampuan Saya?

بسم الله والصلاة والسلام على رسول الله

"Siapa dan apa kemampuan saya?" merupakan soalan yang perlu sentiasa dijawab diri kita sendiri.

Kebetulan beberapa hari lepas, sempat berbual dengan sepupu yang masih bersekolah dan bakal memasuki universiti. Berikut adalah olahan kembali dan sedikit berbeza dengan apa yang saya sampaikan kepada mereka (olahan bergantung kepada pemahaman dan peringkat umur).

Moga perkongsian ini memberi manfaat pembaca andai sudi ianya membimbing anda yang sememangnya hebat-hebat belaka.

Penilaian: Tanah Perlu Sama Rata

Jika persoalan ini ditujukan kepada orang lain, penilaian itu hanya boleh dikeluarkan oleh 'Tuan Punya Badan'. Bukan 'Tukang Tanya' dan bukan juga 'Orang Sekelilingnya', tetapi 'Tuan Punya Badan'. Maka, nilai yang dikeluarkan dan dirujuk tadi berbentuk subjektif milik sang pembicara.

Mana mungkin nilai itu diolah dalam kerangka objektif. Ianya jelas, bila mana wujud perbezaan ketara antara individu ke individu yang lain. Sebab itu, penilaian objektif yang ada kini sekadar mengukur sebahagian sudut sahaja dan bukan secara kolektif.  Andai dibentuk juga penilaian yang digembar-gemburkan menyeluruh sekalipun, ada beberapa pembolehubah (variable) yang menjadikan faktor keputusan ujian itu berbeza.


Fungsi persekitaran sekadar memandu dan mengiring kita ke suatu sudut tertentu. Jika baik kondisi persekitaran kita, Insyallah hasilnya adalah baik. Begitulah sebaliknya. Di sini faktor kelompok (herd factor/ complex) mainkan peranan.

Target: Individu Vs Kelompok

Berkawan dengan penjual minyak wangi, bau harum melekat di badan. Berkawan dengan tukang besi, debu arang lekat di badan. Lihat dalam diri sendiri, dengan rakan atau geng kita. Sekurang-kurangnya akan wujud persamaan dalam minat tertentu yang memimpin kita dalam pembentukan ke satu hala tertentu.

Tapi betulkah semuanya sebab kawan semata-mata?

Masih jua berlaku perbezaan. Pada 2 biji benih yang sama (jenis & asal), ditanam persekitaran yang sama. Namun hasilnya akan wujud perbezaan jua. Baik pada ketinggian, tempoh tumbesaran, hasil buah atau bunganya, ukur lilit batang mahupun lebar daunnya.

Begitu juga dengan manusia. Bersekolah dengan suasana yang sama, pelajaran yang sama, dengan rakan sebaya. Hasil pula masih berbeza. Segalanya berbalik kepada pilihan individu itu sendiri.
Kita lah!

Pilihan: Tiada Istilah Neutral

Segalanya berbalik kepada pilihan. Peluang memilih ini suatu nikmat. Ya, fesyen yang pelbagai itu suatu nikmat. Aneka juadah itu suatu nikmat. Peluang kerjaya yang luas itu nikmat. Calon bakal yang ramai itu suatu nikmat. Yang paling nikmat juga, soalan banyak pilihan (MCQ) dalam peperiksaan itu suatu nikmat.

Tapi perlu jelas, pilihan tiada istilah 'ditengah-tengah'. Dalam pilihan betul atau salah, tiada dua-dua atau ditengah-tengah. Andai tidak menjawab sekalipun, benar ianya suatu pilihan, tetapi tidak mencapai matlamat yang sebenar. Kita sekadar memilih untuk tidak menjawab berbanding jawab.

Sama juga dengan diri, kita memilih untuk
  • Berjaya atau Gagal?
  • Maju atau Mundur?
  • Rajin atau Malas?
  • Kaya atau Miskin?
  • Tahu atau Jahil?
  • Beriman atau Kufur?
  • Syurga atau Neraka?

Garis Mula: Dengan Diri Sendiri

Tidak akan sampai kita ke garisan penamat jika bukan diri sendiri yang menyempurnakan larian. Perlukan bantuan, Insyallah akan ada yang papahkan. Biarpun paling lambat, nikmat sampai digarisan itu tak sama dengan yang berhenti separuh jalan. Kalau tidak, kenapa memilih untuk berlari sedangkan kemampuan baharu berjalan?

Yang meletakkan penghadang dan had atas batang tubuh itu hanyalah diri sendiri. Saya tidak menafikan batas kudrat itu ada, tetapi, jika ada fikiran yang sentiasa negatif, perkara mudah pun jadi sukar.

Bijak jika kita sudah membayangkan garisan penamatnya dengan konsep 'Begin with the end of mind'. Tapi kita akan menjadi kurang bijak jika tak pernah cuba menamatkannya. Akhirnya, orang lain yang dapat dan bukan diri sendiri.

Ihsan: Melihat dan Meyakini Dilihat

Penilaian diri sendiri mungkin membawa penilaian berat sebelah ataupun berlebih-lebihan. Berlebih-lebihan hebat atau berlebih-lebihan teruk. Pandangan peribadi itu saya serahkan kepada diri masing-masing.  Pada saya ianya ada nilai tersendiri bagi setiap kenyataan tersebut.

Apa yang penting adalah, menilai diri sendiri dalam kerangka 'Ihsan'. Hadith Jibrail A.S yang mendatangi Rasulullah S.A.W yang bertanyakan 3 soalan dan kemudian Jibrail A.S sendiri membenarkan jawapan Rasulullah. Sodaqa Rasulullah S.A.W.

Kita mungkin hafal jawapan untuk 'apa itu Islam?' dan 'Apa itu Iman?', dan harap-harap kita sentiasa dapat beringat 'Apa itu Ihsan?'.

"Bersungguh-sungguh dalam melaksanakan ibadah kepada Allah S.W.T seolah-olah kita melihat-Nya. Andai tidak mampu melihat Allah S.W.T, Allah S.W.T sememangnya melihat kita."
Apa jua kita lakukan di muka bumi ini merupakan perbuatan ibadah kepada Allah:
"Tidak Aku jadikan Jin dan Manusia kecuali beribadah (menyembah-Ku)" [Surah Az-Zhāriyāt, سورة الذاريات: Ayat 56]

Role Model: Selawat & Salam Ke Atas Baginda

Kerana itulah, contoh terbaik adalah Rasulullah S.A.W. Moga dapat kita semua sekurang-kurangnya mengenali peribadi baginda dan dijadikan ikutan sepanjang hayat. Ya, itu adalah PALING kurang.

Jelas, tiada seorang pun individu yang memiliki skor penuh melainkan Rasulullah S.A.W. Baginda S.A.W semestinya mendapat penilaian terbaik sebagai seorang Peniaga, Pekerja, Penternak, Guru, Pegawai Bank, Pendakwah, Pakar Motivasi, Peguam, Ahli Politik, Panglima Perang, Ketua Negara, apatah lagi Baginda sebagai Hamba Allah, Lelaki, Suami, Bapa, Datuk meliputi juga tika zaman kanak-kanak, pemuda dan tua umur Baginda.

Kenapa Baginda S.A.W? Jawapan paling mudah adalah anugerah ketokohan bagi individu terhebat ini diiktiraf oleh Sang Maha Pencipta sendiri dalam kitab-kitab samawi.

Mencontohi  Baginda S.A.W bukan menjadikan kita setaraf para nabi mahupun rasul. Akan tetapi, sebagai peringatan dalam menghidupkan sunnah Baginda, juga dalam mendalami erti menjadi seorang muslim.

Kemudian jawablah, 'Siapa dan Apa Kemampuan Saya?'

No comments:

Post a Comment