بسم الله الرحمن الرحيم
Kemahiran Memasak Adalah Satu Keperluan
Saya pernah menyertai perkhemahan "Wilderness Adventure" ketika berumur 16 tahun. Dalam program tersebut ditekankan cara penyediaan makanan di tapak perkhemahan. Sayangnya, apabila ditugaskan kumpulan sendiri memasak, sebahagian lelaki tidak mengambil peduli malah ada yang tidak mengetahui cara membasuh & membersihkan bahan mentah. Pada saya, rugi benar lelaki tidak tahu asas memasak. Ianya juga seolah-olah menampakkan bahawa anak lelaki tidak pernah mengambil tahu apa yang berlaku di dapur sewaktu ibunya sedang masak.
Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.[Surah Al-Baqarah: Ayat 172]
Setakat ini, keluarga ibu & ayah saya, adik beradik lelaki mereka (pakcik-pakcik saya) tahu bagaimana untuk masak. Sekurang-kurangnya cukup menu 3-4 jenis masakan yang paling mudah untuk mereka. Mungkin ini sebabnya saya hairan apabila melihat ada sahabat-sahabat saya yang lain tidak pandai memasak sesuatu yang mudah. Rupanya saya sudah dibesarkan dalam persekitaran yang mana lelaki dalam keluarga terdekat saya memasak.
Bila mendengar cerita pengalaman dari ibu bapa saya ketika mereka kecil hingga dewasa, rupanya penekanan yang sama telah diberikan oleh datuk dan nenek kepada mereka. Biarpun tidaklah semua lelaki dan perempuan berada di dapur, sekurang-kurangnya ada masa ketika mana lelaki diperlukan mereka ada untuk masak bersama. Alasan yang sama rupanya diperturunkan oleh datuk dan nenek kepada ibu bapa saya.
Menyingkap kisah silam
Semasa saya umur 14 tahun, saya pernah ditegur oleh seorang makcik (bukan bertalian darah) semasa majlis rewang atau gotong-royong di kampung saya. Ketika itu, saya sama-sama membantu menyiapkan bahan mentah untuk dimasak, makcik tersebut dengan sinisnya berkata, "Aik, lelaki pun sibuk kat dapur?". Tak dinafikan kebetulan waktu itu hanya saya yang anak lelaki yang berada di kawasan tersebut. Manakan tidak, bahagian kawah pakcik-pakcik dan beberapa orang pemuda sedang sibuk menyusun periuk & kawah serta mengorek tanah untuk dibuat lubang api. Kawasan dapur pula hanya makcik-makcik tua. Peliknya anak-anak dara kebetulan waktu itu tidak kelihatan sama-sama di dapur.
"Budak tak boleh duduk dekat dengan api!" kata seorang pakcik. Dah datang tapi tak tolong, bagi saya waktu itu, menyakitkan mata orang sahaja. Saya sudah dididik oleh ibu bapa saya untuk membantu sesiapa dalam majlis, masakan biasa duduk diam kat tepi-tepi meja sekadar menyembang sedangkan orang lain sibuk bersiap. Maka, tergerak hati saya membantu makcik-makcik di bahagian dapur mengupas bawang-bawang & memotong sayur-sayuran untuk masakan nanti. Waktu itu saya sudahpun siapkan bahagian kupasan bawang hanya tinggal sedikit sahaja baki sayur yang belum dipotong.
Makcik yang baru sahaja tiba ini, dengan selamba mengungkapkan pertanyaan dia. Ketika itu, saya belum kenal istilah sarcasm ataupun menyindir. Sekadar sempat membalas pertanyaan makcik tersebut dengan ungkapan "Ya" dan senyuman sahaja. Ibu dan makcik saya memahami sindiran tersebut dan mereka menyuruh saya bantu di tempat lain sahaja. Sesudah selesai majlis tersebut, ibu & makcik saya menjelaskan pada saya situasi yang berlaku.
Saya hairan, kenapa perlu disindir lelaki di dapur? Kini, saya bersangka baik terhadap makcik tersebut berkemungkinan menjaga ikhtilat (percampuran) lelaki dan perempuan. Meskipun waktu itu saya budak belasan dan mereka sudah berumur, pada hemah saya, tiada masalah sebenarnya jika itu yang menjadi pertikaian.
Aku D' Dapur
العقل السليم في الجسم السليم
Saya kini belajar di luar negara. Kemudian saya bakal pulang menjadi seorang doktor. Saya bakal bekerja di tempat berjauhan dengan keluarga dan mungkin berkongsi rumah dengan sahabat-sahabat bujang yang lain. Insyallah apabila beralih ke alam perkahwinan, ada ketikanya saya perlu menjaga isteri saya ketika mana dia sakit. Bilamana diperlukan, saya sebagai seorang ayah dikehendaki menyediakan makanan untuk anak-anak sendiri. Dalam situasi tersebut, saya perlu tahu menyediakan makanan untuk diri dan orang lain.
Alhamdulillah sejak kecil lagi, ibu saya telah menyuruh untuk berdikari. Dia tahu, anak yang seorang ini perlu dilatih untuk menjaga dirinya sendiri. "Mak tak tahu bila mak akan mati, jadi kau kena belajar masak untuk isi perut kau sendiri". Ditunjuknya cara tanak nasi, memotong sayur, menyiang ikan, ayam dan daging. Sebab dia tahu, jika dia jatuh sakit, ketika itu, saya sahaja yang berada didampingnya. Maka tidak rugi dia melabur pengalaman itu pada saya. Sekarang, jangan katakan masak untuk diri sendiri, saya sudah mampu untuk masak untuk beberapa jenis masakan untuk kuantiti 50 orang.
Saya tahu pemakanan yang sihat adalah makanan yang
disediakan oleh diri sendiri. Saya amat cerewet terhadap makanan saya.
Jika makanan yang saya beli di luar, sekurang-kurangnya pada saya,
penyedia makanan tersebut diiktiraf dalam pengurusan & persiapan
makanannya. Jika saya sudah memboikot sesuatu restoran, harap maaf untuk
saya kembali makan di sana. Berbeza jika masak sendiri, saya tahu apa
yang saya campurkan dan bahan apa yang saya gunakan. Saya tahu status
kebersihan makanan yang disediakan. Sebagai ketua keluarga kewajipan menjaga halal haram apa saja yang masuk
ke dalam darah daging tanggungannya terletak di bahunya sendiri.
Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman. [Surah Al-Maidah: Ayat 88]
ALHAMDULILLAH ~
ReplyDelete