Sunday, July 31, 2011

[BM] Mahukah Kau Menguasai Dunia?

[Artikel ini saya tulis pada tahun 2007, mungkin sebahagian besar isunya berlegar sekitar tahun tersebut. Moga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua]
Pendahuluan

“Kalau tak takut akan mati, tak sedunia perang; kalau tak takut akan alah, tak sedunia sabung.”

Peribahasa melayu ini kita jarang dengar namun, apalah salah jika kita berkongsi pengetahuan baru. Peribahasa tersebut bermaksud berperang dan menyabung merupakan pekerjaan yang amat berbahaya tetapi digemari orang. Masing-masing ingin menguasai dalam bidangnya dengan berpegang dengan “yang kuat akan menang, yang lemah akan kalah”. Sejauh mana kebenaran peribahasa ini kini.

Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, Peperangan ialah perkelahian besar antara negara atau antara kumpulan yang bermusuhan dengan menggunakan angkatan tentera atau senjata. Inilah yang telah berlaku sejak zaman dahulu kala, bermula dengan pertumpahan darah manusia pertama di muka bumi ini, sehingga kini. Bila agaknya ia akan berakhir?


Peperangan Dalam Konteks Alaf Baru

Hampir keseluruhan masyarakat dunia menjalankan kempen kesedaran anti-perang serta menentang kezaliman terhadap manusia terutamanya isu Perang Iraq, isu Palestin dan beberapa negara lain lagi, sehingga kononnya mendapat perhatian dan sokongan anti-perang dari badan tertinggi dunia. Sayangnya undang-undang dunia ini boleh dilentur sehingga mengikut keinginan kuasa besar yang menduduki tangga teratas badan dunia tersebut.

Namun di zaman era globalisasi kini, benarkah peperangan hanya tertakluk kepada penggunaan ketenteraan dan persenjataan semata-mata?

Peperangan zahiri yang kita sudah sedia maklum ialah peperangan dari segi ketenteraan. Di medan inilah, manusia menunjukkan taring taji dan kuasa dominan masing-masing. Bagi yang kuat akan mengatasi si lemah. Kekuatan di sini, dirujuk terus dari segi teknologi senjata dan kemahiran militari kedua belah pihak. Ironinya, penghasilan teknologi-teknologi perperangan ini banyak menyumbang kepada kemajuan sesetengah negara. Siapa sangka, teknologi nuklear, telekomunikasi jarak jauh seperti penggunaan radar dan satelit, penghasilan internet merupakan penyumbang kepada kemajuan tamadun manusia abad ke-21 kini.

Di sebalik pertempuran yang kita jelas nampak, terdapat juga bentuk perperangan secara tidak langsung (maknawi) yang juga dinamakan sebagai perang saraf. Buat apa menumpahkan darah dan menghasilkan banyak pencabulan hak asasi manusia terang-terangan bilamana mampu melakukan di ruang legar yang legal melalui pengaruh ekonomi, media massa dan penglibatan badan-badan profesional.

Menguasai Dunia Dengan Mengawal Akar Umbinya

Kenapa manusia bertungkus-lumus untuk menguasai dan memonopoli ekonomi?
Penguasaan ekonomi akan meletakkan mereka pada darjat yang tinggi. Jika diperhatikan gelagat manusia ketika mana berada dalam situasi naik turunnya jual beli dalam pasaran saham, hal ini dapat menguasai kewarasan akal dan emosi mereka. Ini kerana mereka ‘memperjuangkan’ harta mereka dalam medan ini. Hebatnya juga, sekiranya mampu menguasai cabang ekonomi secara khusus, mereka secara langsung mampu menguasai keadaan arus turun naik ekonomi sesebuah negara dan mungkin juga menjangkau kepada peringkat dunia.

Penguasaan media massa juga memainkan peranan penting dalam strategi perang saraf. Penyebaran berita sememangnya lebih pantas dari zaman perutusan surat dahulu. Kesan arus sains dan teknologi menyebabkan berkembangnya medium penyampaian dan penyebaran maklumat ini. Sesuatu khabar berita boleh tersebar dalam bentuk media cetak dan media elektronik hanya semudah dengan menekan satu butang. Inilah yang dikatakan kuasa “dunia di hujung jari anda”.

Sesuatu perkhabaran akan dapat diperolehi meskipun tempat yang diperkatakan itu belum pernah kita jejaki apatah lagi kita dengari. Juga, hebatnya kekuatan media massa ini apabila ia mampu menyatukan suara manusia dari pelusuk dunia melintasi benua ke benua yang lain. Hanya dengan menggunakan mata pena dan papan kekunci, ia mampu memperlihatkan impaknya terhadap dunia.

Peranan badan profesionalis dan ahli ilmuan juga jangan diperkecilkan. Ini kerana, pada zaman ini tanpa pangkat serta kedudukan seorang insan hanya akan dipandang rendah oleh insan yang memilikinya. Memang benar media massa mampu menyatukan suara manusia itu, namun, adakah ada orang yang akan mendengar dan mengambil berat tentang apa yang diperkatakannya tanpa mengetahui status si manusia itu dalam masyarakat. Adakah dia seorang pemimpin, ulama, saintis atau hanya seorang kutu rayau?

Dari sudut inilah kewibawaan seseorang juga akan diperhati. Ini kerana, untuk sampai ke sesuatu taraf profesional ini, bekalan dan penguasaan ilmu seseorang itu diukur. Apa kaitannya dengan medium perang? Di sini, tujuan perang dalam mengembang dan menguasai kawasan ‘tanah jajahan’ dengan bermodalkan ilmu dan pangkat (kuasa) yang dimiliki.

Siapa Yang Memegang Dunia Di Kalangan Manusia Kini?

Melalui kuasa ketenteraan, rampasan kuasa serta penaklukan wilayah telah berlaku. Mereka kononnya menyatakan niat untuk membawa keamanan untuk menyelesaikan masalah dalaman sesuatu negara. Mereka juga bertindak atas nama ingin memburu dan menggulingkan pemimpin yang melaksanakan kekejaman terhadap rakyatnya. Sedangkan ia merupakan agenda campur tangan kuasa besar terhadap negara tertentu sekaligus melanggar serta mencabul hak negara itu sendiri. Mereka berlagak sebagai polis dunia yang mana muka sebenarnya adalah penjenayah yang paling kejam bertindak atas nama kemanusiaan dan keamanan.

Kuasa-kuasa ini akan cuba sedaya-upaya untuk mengekalkan tapak ketenteraan mereka selagi mana tujuan ‘udang di sebalik batu’ mereka belum selesai. Antara ‘udang-udang’ tersebut ialah mereka inginkan kekayaan sumber bumi seperti petroleum dan gas asli, menjatuhkan kerajaan di mata mereka boleh menggangu gugat dasar mereka, di samping ingin melenyapkan pengaruh Islam di negara tersebut.

Sambil mereka melaksanakan ‘bantuan kemanusiaan’ ini, mereka juga secara tidak langsung menyemai benih ketakutan ke dalam hati rakyat tersebut. Mana tidaknya apabila hari demi hari, mata melihat  penyeksaan demi penyeksaan, kematian demi kematian terhadap saudara mereka sendiri. Telinga sering mendengar bedilan bom di sana sini, mendengar jerit raung di saat berlakunya setiap serangan. Dengan situasi berpanjangan seperti ini, bercambah jiwa yang tidak tenteram sehingga menjadi satu tekanan jiwa dan mental.

Namun, adakah hanya dengan bergantung kepada kuasa ketenteraan sahaja bagi mereka sudah cukup untuk mempamerkan keinginan mereka untuk menjatuhkan Islam?

Dengan menguasai ekonomi, sekali gus mampu mempengaruhi ekonomi diperingkat dunia. Dengan mengganggu gugat kestabilan ekonomi dunia kekukuhan matawang sesetengah negara bagai terikat dan bergantung kepada naik turun ekonomi ini. Dengan berlakunya, ketidakstabilan tukaran matawang asing ini, menngakibatkan pula kejatuhan matawang negara-negara miskin sekaligus mengundang kejatuhan ekonomi negara mereka.

Kejatuhan ekonomi ini, menghasilkan impak besar kepada pentadbiran sesuatu negara tersebut juga rakyatnya sendiri. Pembangunan negara menjadi terbantut. Ini kerana kerajaan juga terpaksa menampung beban yang diterima rakyat. Namun jika sehingga mencecah kejatuhan yang kronik, rakyat hanya dapat bergantung dengan hasil dalam negera sahaja berikutan kenaikan harga barang-barang luar negara. Selain itu, rakyat juga terpaksa mengikat perut untuk menampung perbelanjaan sara hidup diri dan keluarga masing-masing hanya kerana jumlah pendapatan mereka lebih rendah dari keperluan mereka.

Kejatuhan teruk ekonomi ini menyebabkan sesetengah kerajaan negara mangsa kejatuhan ekonomi ini terpaksa bergantung kepada bantuan kewangan dari luar negara khususnya badan dunia. Bertambah malang pula apabila bantuan itu datang dari musuh mereka sendiri yang sememangnya inginkan keadaan rayuan pertolongan ini berlaku. Pada mulanya menghulurkan tangan mereka, kemudiannya menekan negara ini dengan hutang serta bunga yang tinggi. Kesannya menyebabkan mereka menjadi boneka dikawal oleh badan besar ini yang kononnya ingin membantu mereka.

Apa pula peranan media massa dalam membolehkan mereka membenamkan kuku mereka lebih dalam lagi untuk menjayakan perang moden mereka ini?

Media massa merupakan senjata paling bahaya dalam meruntuhkan sahsiah dan kekuatan minda sesuatu masyarakat. Bertambah mudah apabila teknologi serta kemudahan yang lebih meluas kini.
Perang psikologi ini tidak perlukan senjata dan jentera besar. Cukup dengan kelengkapan elektronik seperti televisyen dan radio sudah cukup untuk mereka menjalankan taktik kotor ini.

Mereka secara senyap-senyap menerapkan pemikiran barat sedikit demi sedikit. Renungkan seketika, bahawa generasi baru (anak-anak kita) ketika mereka sudah boleh memahami apa yang ditayangkan dalam cerita kartun. Memang nampak ianya adalah perkara kecil, namun sedar atau tidak bahawa pemikiran mereka telah digodami dengan cerita karut-marut menyalahi agama, tidak lupa juga dengan pendedahan sosial yang melampau. Ini tidak mustahil tanpa didikan agama dan penyeliaan ibu bapa, ia mampu menyebabkan sehingga tertanam dalam minda mereka apa yang berlaku realitinya adalah sesuatu perkara biasa serta tidak menjadi masalah dari sudut agama.

Bermula dari umur dua tahun, ketika mana seorang kanak-kanak sudah boleh memahami tutur kata. Kemudian digelar remaja, ketika mana sifat inkuiri membuak-buak. Seterusnya memasuki umur golongan pemuda ketika mana sudah mampu mengubah dunia. Antara jangka hayat ini, ketika mana seseorang itu tidak terdedah dengan kuasa media? Satu tepukan gemuruh kepada media yang sememangnya telah menjalankan peranannya dengan ‘baik’.

Suntikan hiburan yang tidak putus-putus menghanyutkan lagi perlayaran mereka untuk terus membina kemantapan kendiri. Kononnya berdarah muda, mereka dibiarkan untuk terus berhibur. Wujudnya pelbagai jenis genre muzik dari jenis jazz, balada, pop rock dan juga terdapat juga genre sehingga tahap ‘menghenjutkan kepala’. Dari genre muzik juga terhasilnya budaya-budaya pelik seperti ‘punk’, ‘skin head’, ‘hip hop’,  ‘black metal’ dan lain-lain lagi. Yang merisaukan di sini ialah, pembawakan genre muzik sehingga merosakkan aqidah Islam. Semua ini adalah pengaruh dari negara-negara kafir. Akibat dari pembawakan budaya-budaya pelik ini, sahsiah remaja menjadi semakin teruk

Terserapnya unsur-unsur negatif serta melalaikan yang sememangnya berjaya merosakkan minda masyarakat. Kenapa tidak? Hiburan mana yang tidak mampu memuaskan nafsu manusia. Apabila nafsu menguasai akal, hati menjadi rosak. Hati yang rosak menunjukkan akhlak yang buruk. Apabila hilang akhlak, maka hilanglah tamadun yang dipanggil manusia. Itulah kehancuran dan kekalahan yang paling teruk.

Musuh laknatullah ini juga menerbitkan filem-filem dan dokumentasi berunsur provokasi terhadap umat Islam. Semenjak peristiwa 11 September 2001, penghasilan tayangan-tayangan seperti ini semakin menjadi-jadi. Mereka mengutuk baik secara selindung mahupun terang-terangan terhadap agama Islam. Antaranya, Obsession: Radical Islam's War Against the West (juga dinamakan Obsession), Submission (dokumentasi berbentuk provokasi). Terbaru, mereka mengeluarkan filem pendek bertajuk FITNA, yang diterbitkan oleh Ahli Perundangan Belanda Geert Wilders

Penyebaran khabar berita pula, bagaimana? Telah sedia maklum kita semua dengan berita yang disampaikan berbeza dengan keadaan yang sebenarnya. Inilah yang dikatakan media boneka. Fakta diputarbelit dan dirahsiakan. Selain itu, cukup mudahnya memecahbelahkan sesuatu perpaduan, dengan isu perkauman dan agama. Inilah yang telah berlaku di seluruh dunia apabila wujud istilah ‘Islamfobia’. Ini yang telah menguasai minda masyarakat yang jahil ilmu perbandingan agama, dengan mudahnya media massa ini menunjukkan Islam sebagai agama peperangan.

Musuh juga akan cuba menyelinapkan idea-idea mereka melalui penulisan mereka. Melalui pembacaan kitab-kitab ini, kita belajar dan mengetahui pelbagai ilmu. Meskipun dengan menghasilkan karangan sepanjang satu muka surat, jika mempunyai isi, ia akan menggerakkan akal seseorang untuk berfikir. Tidak dinafikan juga terdapat banyak juga buku-buku yang dihasilkan menyumbang kemajuan manusia dari sudut sains dan teknologi, sains kemanusiaan serta sumbangan ke atas peradaban manusia. Akan tetapi, apa yang lebih merisaukan apabila pemikiran tersebut diracun dengan fakta palsu yang berunsur provokasi serta membawa kepada pemikiran sekular.

Persoalannya kini, adakah buku-buku yang pernah dibaca di awal hayat kita tidak langsung mempengaruhi kita dari sudut pemikiran? Sedar atau tidak, hampir separuh dari buku-buku ilmiah ini dihasilkan dengan tinta penulis beragama Yahudi, Nasrani, Animisma, Atheist dan sebagainya.  Pernahkah kita terfikir, apakah pula buku tersebut tidak langsung disemai mahupun direnjis sedikit unsur-unsur perosak minda dan akidah dari pihak musuh? Yakinkah kita boleh membezakan mana yang benar, dan mana tidak?

Melalui apakah yang menyebabkan masyarakat dunia percaya dengan pengaruh media massa ini? Inilah ia perkaitan dengan kuasa badan profesional.

Media hanya menyiarkan kenyataan mereka, akan tetapi, apa yang lebih berbahaya adalah bentuk pemikiran yang profesionalis ini keluarkan. Mereka menggunakan tiket kedudukan serta pangkat untuk menyatakan idea mereka serta untuk meluaskan pengaruh. Ahli sejarawan contohnya, dengan mudahnya memutarbelitkan sejarah dan peradaban dunia yang kononnya mereka telah kaji selidik dengan tepat. Mereka boleh mengeluarkan atau mungkin menyembunyikan kenyataan yang fakta, juga boleh menokok tambah apa sahaja yang mereka.

Mereka juga telah menggunakan ahli agama dan ahli saintis mereka untuk memutarbelitkan fakta dan pemahaman ayat dalam Al-Quran Al-Karim. Mereka meletakkan persoalan yang kononnya Al-Quran Al-Karim bercanggah dengan fakta sains. Mereka mengeluarkan ayat yang menunjukkan perbezaan perintah dan kenyataan dari Allah. Ini sememangnya telah berlaku. Bagaimanakah persepsi orang bukan Islam terhadap kesyumulan agama Allah kita ini? Dan bagaimana pula dengan kita sendiri sebagai muslim? Bukankah berbahaya jika seseorang yang hanya memiliki ilmu agama yang hanya setebal kulit bawang, meneliti kenyataan yang dikeluarkan oleh golongan ini?

Kuasa eksekutif (badan pemerintah) juga tidak kurang hebatnya. Kedudukan ini mampu menjadikan seseorang yang hanya insan biasa pada asalnya, menjadi seseorang yang mampu merubah serta mentadbir sesuatu negara. Golongan ini berkuasa dalam membuat keputusan mengenai polisi dan menguatkuasakan undang-undang di negara masing-masing. Mereka jugalah yang menentukan dasar negara sebagaimana mereka (secara mutlak) ataupun sebagaimana rakyat (suara ramai) inginkan.

Bagi negara yang diperintah oleh pemimpin bukan Islam, yang memiliki minoriti rakyat beragama Islam, nasib penduduk muslim ini bergantung kepada pemikiran pemimpin mereka ini. Jika bernasib baik, kebajikan mereka sebagai rakyat akan terjaga rapi jika negara itu sememangnya mengamal penuh persamaan taraf kepada semua penganut untuk menganuti agama masing-masing. Namun jika sebaliknya berlaku, mereka bagai diuji kesabaran serta maruah mereka sebagai umat Islam.

Jika diperhatikan keadaan penduduk minoriti ini, mereka mudah dihambat oleh kerajaan mereka. Hairannya ianya hanya berlaku terhadap penduduk beragama Islam sahaja. Aktiviti keagamaan mereka disekat dengan alasan takut akan tersebar pemikiran ekstrimis, hak mereka dari sudut pemakaian ditarik sedangkan ia tidakpun mengganggu pandangan dan kehidupan umum rakyat yang lain. Nampaknya kebebasan beragama bagai hanya corak-corak seni kosong di dalam perlembagaan negara mereka.

Penyertaan mereka dalam pertubuhan badan dunia, menjadikan golongan profesional ini seakan-akan lebih berkuasa. Di lapangan inilah peluang mereka sebagai  musuh Islam dapat menyatakan hasrat penaklukan mereka ke atas negara-negara mangsa. Ianya semudah mengeluarkan kenyataan-kenyataan seperti terdapat aktiviti rekrutasi pengganas, terdapat penyelidikan bioteknologi yang mampu mengancam dunia, serta berbagai-bagai lagi alasan palsu ke atas negara tertentu. Hanya dengan ‘kalimah magis’ ini, alasan mereka untuk melaksanakan sesuatu diluluskan dengan mudah.

“Berikan Aku 10 Pemuda, Nescaya Aku Akan Goncangkan Dunia”

Pemuda merupakan aset penting dalam menerajui kebangkitan sesuatu ketamadunan. Baik Tamadun Yunani, Tamadun Mesopotamia, Tamadun Rom, malah yang paling ketara Tamadun Islam itu sendiri, di mana kesemuanya bangkit bersama-sama kekuatan sumbangan dari golongan pemuda-pemuda mereka. Jadi, di manakah terletaknya kekuatan seorang pemuda yang sebenarnya? Di dalam usia yang semuda ini, mereka dianugerahi dengan kekuatan mental  dan fizikal yang mantap. Juga, ketika ini mereka dikatakan mampu mengubah dunia. Cuma persoalannya di sini, adakah mengubah ke arah kebaikan ataupun ke arah kehancuran?

Jadi, bagaimanakah membentuk pemuda muslim yang dikatakan mampu menggoncang dunia?
Perkara pertama yang perlua ada adalah ilmu. Melalui ilmu, sudah cukup membezakan seseorang dengan seseorang yang lain. Kepentingan membudayakan dan memperkasakan ilmu perlu diterapkan dari usia yang muda. Mereka ini perlu dididik dengan teknik pemikiran kritikal dan bukan sekadar menerima ilmu itu sahaja, supaya mereka dapat mengaplikasikannya dengan berkesan. Ilmu tanpa amal ibarat pokok tanpa buah.

Selain itu, mereka perlu dididik dengan mengenali sejarah, baik dari sejarah peradaban dunia, juga sirah nabawiyyah dan para auliya’. Kita perlu berpegang dengan ayat ‘hari ini lebih baik dari semalam, dan esok lebih baik dari hari ini’. Ia bagi membentuk insan yang senantiasa muhasabah dirinya. Kenapa sejarah? Kita perlu ingat bahawa sejarah buruk itu tidak akan mengulangi dirinya, tetapi manusia akan tetap melakukan kesilapan yang sama. Mahukah kita kembali ke zaman kegelapan yang penuh dengan kejahilan?

Ilmu dunia tidak seharusnya dipisahkan dengan ilmu agama iaitu dengan didikan Islam. Manusia tidak akan terlepas dari fitrah beragama. dengan ini, mereka tidak akan terkeluar dari batas-batas yang telah ditetapkan oleh syarak. Melalui ilmu agama inilah seorang hamba mengenal Tuhan Yang Maha Mencipta. Selain itu, ketamadunan Islam adalah satu-satunya tamadun yang berkembang dengan memegang pada agamanya kerana ia merangkumi seluruh aspek dalam urusan seharian.

Sebagaimana yang digariskan oleh Dr. Yusof Al-Qardhawi, terdapat empat kewajipan ke atas remaja Islam kini. Ianya adalah kewajipan memahami Islam secara sahih, kewajipan beramal dengan Islam, kewajipan berdakwah kepada Islam dan kewajipan bersatu di atas Islam. Keempat-empat kewajipan ini perlu difahami supaya kekuatan Islam itu dapat membentuk pemuda Muslim yang sejati.

Selain itu, sementara memiliki fizikal dan stamina yang kuat, kebanyakkan negara, amat mementingkan dan memanfaatkan kelebihan yang ada pada seorang pemuda. Maka golongan ini telah diterap masuk menyertai program-program latihan ketenteraan dalam usia yang muda. Latihan ini adalah untuk memupuk disiplin kendiri dan kepentingan berkerja dalam kumpulan serta kemahiran-kemahiran khusus untuk survival. Ini bertujuan untuk melatih mereka supaya bersedia sekiranya berlaku kemungkinan darurat; tidak kira semasa berlakunya perang mahupun bencana alam.
Sekiranya lengkap dengan pakej-pakej yang disebutkan di atas, tidak mustahil dunia ini akan ‘bergoncang’ dengan kedaulatan Islami.

Penutup

Medium-medium yang dinyatakan di atas adalah antara lapangan utama yang perlu dikuasai oleh
umat Islam sendiri. Ia bukan sahaja digunakan untuk menentang musuh, tetapi untuk mengembalikan zaman kegemilangan umat Islam. Semoga kita semua sedar akan gerakan ‘menjahanamkan’ umat Islam oleh musuh Laknatullah ini dan sama-sama berusaha memartabatkan Agama Islam ini daripada ditindas oleh mereka. Jangan pula sekadar memejamkan mata, memekakkan telinga, membisukan mulut serta melumpuhkan tangan dan kaki membiarkan penindasan terus berlaku.

No comments:

Post a Comment