Saturday, April 8, 2017

[BM] Sebuah Risalah Pinangan Maya

بسم الله والصلاة والسلام على رسول الله


Assalamualaikum wbt,
Moga senantiasa keluargamu dalam naungan Yang Maha Pemurah & Yang Maha Penyayang.

Biar jelas, tulisan ini sememangnya ditulis oleh aku sendiri, dan ditujukan kepadamu.

Sebelum kau teruskan pembacaan, aku mohon agar kau baca bersendirian dan fahamkan terlebih dahulu sebelum kau hadapkan tulisan ini kepada orang yang kau benar-benar percayai.

Sejenis coretan yang tidak pernah dihantar melalui emel apatah lagi ditulis kepada sesiapa pun. Hairan juga apabila ianya dalam bentuk separa formal. Takut kelu lidah menuturkan, maka sudilah kiranya ianya dalam bentuk risalah maya.

Aku harap kali ini, perkara ini jelas antara kau dan aku. Terus, tulisan ini pada aku, sebagai suatu pertanyaan kepada tuan punya diri berkenaan dengan soal hati.

Niat dihati ini ingin mencari peneman hidup, andai jodoh itu ditakdirkan Allah SWT adalah orang yang aku tujukan sekarang ini. Bukan suatu gesaan, tetapi sekadar pertanyaan dahulu, adakah sudah ditanyakan oleh sesiapa mengenai soal pertunangan mahupun perkahwinan sama ada terus kepada kau atau kepada wali mujbir yang sah. Atau maksud mudah, sudahkah kau bertunang sekarang?

Andai 'SUDAH' jawapannya, sudilah kiranya sekadar membalas dengan mudah kalimah tersebut, dan abaikan kalam-kalam aku yang berikutnya. Moga perjanjian tersebut dijunjung ke pentas pelamin.

Andai 'BELUM' sebagai jawapan, pertanyaan kedua aku tujukan, sudikah andai aku nyatakan hasrat ingin masuk meminang?

Dalam masa yang sama, aku nyatakan juga bahawa proses perkenalan kita sebelum ini tidaklah mencukupi andai 'perbezaan' semata-mata menjadi kayu ukur. Andai sudi mengenali hati budi kita berdua, sudikanlah bawa pertemuan dua hala bersama keluarga kita terlebih dahulu.

Memandangkan kita mempunyai tempoh masa yang panjang, aku harap, sela masa ini adalah sesuai untuk kau fikir dan berbincang bersama keluarga terlebih dahulu. Andai jawapan yang diberikan membuka ruang merisik, insyallah aku cuba mengotakan hasrat tersebut.

Sekadar mengingati kembali, haraplah akan dikau menjaga tulisan ini dari diketahui umum apatah lagi dari sampai ke tangan orang-orang yang khianat. Harap juga pembacaan ini tidak terus mengganggu pemikiran terlalu mendalam apatah lagi menjadi perbualan panjang yang tak berkesudahan. 

Moga Allah SWT berikan kita pilihan yang terbaik.


Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment